Halal Foodie

MICHELIN GUIDE Rai Penmampilan Sulungya Di Malaysia

MICHELIN Guide mengumumkan kemunculannya di Malaysia hari ini, meliputi dua hab kulinari utama iaitu Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, di mana ia akan mengumumkan restoran dan hotel pilihannya pada Disember 2022. MICHELIN Guide yang menjadi idaman ramai mengiktiraf bakat-bakat kulinari terbaik dan pengalaman gastronomi terkini yang ditawarkan oleh destinasi berkenaan, berdasarkan kepada pemeriksaan bebas dan kriteria pemilihan syarikat tersebut. 

Terkenal dengan cita rasanya yang hebat kesan daripada pengaruh dan warisan pelbagai etnik di negara ini yang membentuk sebahagian besar daripada identiti kebangsaannya, budaya makanan di Malaysia memberikan kelebihan luar biasa positifnya yang pantas memikat tunas rasa penggemar makanan paling tegar tidak kira sama ada dari dalam atau luar negara. 

“Kami berasa sangat gembira kerana dapat mengalu-alukan penyertaan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ke dalam keluarga MICHELIN Guide,” kata Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide, Gwendal Poullennec. “Pilihan akan datang ini bakal membuka lembaran baharu dalam kecemerlangan gastronomi Asia, mengetengahkan kehebatan masakan Malaysia dan kelimpahan bakat kulinari tempatan. Inspektor kami yang sememangnya tidak dikenali umum telah pun berada di lapangan untuk mengalami suasana kulinari yang sememangnya kaya dengan pelbagai pilihan dan mengenal pasti bakat terbaik tempatan.” 

MICHELIN Guide komited ke arah memupuk budaya pengembaraan dan mencipta pengalaman tidak dapat dilupakan yang boleh diakses oleh semua penggemar makanan tanpa mengira bajet; dan disebabkan janji inilah serta ketelitian inspektor restoran bebas dan kriteria pemilihannya yang meletakkan MICHELIN Guide di barisan hadapan dalam kalangan semua panduan restoran. Dengan sasaran untuk mencari pengalaman gastronomi luar biasa, Inspektor MICHELIN Guide telah mengenal pasti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebagai dua bandar raya yang menampilkan kekompleksan kulinari yang sangat berbeza lagi bertenaga yang benar-benar mencerminkan keunikan budaya berbilang etnik Malaysia. 

“Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mempunyai keunikan tersendiri yang memberi manfaat kepada semua penggemar makanan di dalam dan luar negara. Kuala Lumpur, hab ekonomi dan perniagaan negara ialah sebuah bandar yang pesat berkembang dipenuhi dengan bangunan besar, restoran bebas dan inspirasi baharu untuk gastronomi.”

“Pulau Pinang, kuat dengan pengaruh Peranakannya, menjadi lokasi tumpuan restoran berskala kecil dan makanan jalanan yang menampilkan budaya makan di tepian jalan yang sememangnya Malaysia,” tambah Poullennec. 

Kriteria Pemilihan MICHELIN Guide 

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, MICHELIN Guide akan menyerlahkan kepelbagaian gastronomi Malaysia dan mengesyorkan pilihan restoran terbaik di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, menerusi pemeriksaan  restoran bebas berdasarkan kepada kriteria pemilihan antarabangsa syarikat itu, bagi memastikan ketekalan standard di seluruh dunia:

  • kualiti ramuan atau bahan masakan;
  • kepakaran memasak;
  • keharmonian rasa;
  • personaliti chef menerusi masakan; dan 
  • ketekalan merentasi masa dan keseluruhan menu.

MICHELIN Guide menyampaikan ulasannya mengenai restoran menerusi sistem penganugerahannya yang meluas, di mana yang paling dihormati ialah anugerah MICHELIN Star yang terkenal di seluruh dunia. Satu MICHELIN Star dianugerahkan kepada restoran untuk “masakan berkualiti tinggi yang berbaloi untuk disinggahi,” dua MICHELIN Star untuk “masakan cemerlang yang berbaloi untuk ditujui,” dan tiga MICHELIN Star untuk “hidangan luar biasa yang berbaloi untuk pengembaraan khusus.” 

Selain penarafan bintang yang diidam-idamkan itu, pemilihan tersebut akan turut memasukkan kategori popular Bib Gourmand, satu pengiktirafan yang diberikan kepada restoran yang menyajikan hidangan berbaloi dengan nilai wang. 

Senarai penuh restoran pilihan MICHELIN Guide Kuala Lumpur dan Pulau Pinang 2023 akan diumumkan dalam satu majlis khas pada Disember 2022. Kunjungi laman sesawang MICHELIN Guide atau muat turun aplikasi percuma untuk iOS dan Android, untuk mengetahui tentang senarai restoran pilihan MICHELIN Guide di seluruh dunia. 

Instagram: https://www.instagram.com/michelinguidemy/

 

Tags

Junaidah Idrus

makan.eat.repeat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close
Close