Makanan

15 Makanan Sedap dan Viral Ipoh 2019

Ipoh Trip, Anyone?

Anda berada di sekitar Ipoh,Perak? Jom cuba 15 makanan di Ipoh yang sedap dan viral pada tahun 2019. 15 tempat makan ni korang wajib pergi tau sebab makanan kat sana confirm best dan sedap giler jadi korang jangan lepaskan peluang untuk nikmati kesemua makanan ni!

15 Makanan di Ipoh

Takut makanan viral overrated? Jangan risau tentang rasa sebab semua tempat makan yang tersenarai ni rasa dia memang sedap dan rata-rata pengunjung yang dah pergi sangat berpuas hati dengan makanan dan layanan disini.

1. Nasi Ganja

Sumber: @sugiyosaputra

Sebut sahaja Ipoh, pasti nasi ganja merupakan menu pertama yang terlintas. Nasi ganja ialah menu wajib sekiranya korang datang ke Ipoh. Nasi ganja ni juga dikenali sebagai Nasi Vanggey dan apa yang membezakan nasi ini dengan nasi kandar di Penang ialah sambal kelapa yang yang diletakkan diatas nasi. Walaupun nasi ganja ini hidangan yang cukup simple, tapi orang tak pernah putus-putus tau datang kat sini. Kedai nasi ganja ni juga berada dalam kedai kopi Yong Suan, jadi kalau makan kat sini, air akan dibuat oleh orang cina. Satu Malaysia gitu.

Lokasi: 2, Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee, 30300 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 9.30 am – 6.00 pm

2. Mee Udang Ketam Sempoii Diraja

Sumber: @mayyamalia

Bagi peminat makanan laut, jangan lepaskan peluang untuk merasai kemanisan asli dari seafood didalam kuah mee anda. Mee disini pastinya menjadi buruan penduduk tempatan mahupun pengunjung dari luar sejak mereka beroperasi dari 2011. Apa yang menjadikan kedai ini bertahan sehingga kini ialah kesegaran bahan-bahan masakan mereka terutamanya udang dan ketam. Pengunjung juga boleh memilih variasi udang dan ketam seperti udang haraimau, udang galah, ketam nipah, king crab dan banyak lagi.

Lokasi: Mee Udang Ketam Sempoiii Diraja, 51, Lorong Sungai Choh 10, 31250 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 4.30 pm – 11.45 pm

3. Restoran Simpang Tiga

Sumber: @restoran_simpang_tiga

Bagi anda yang meminati masakan dari Padang, Indonesia, jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan di Restoran Simpang Tiga ni. Restoran ini menawarkan pelbagai jenis masakan asli dari Padang iaitu sebuah kawasan di Jakarta. Restoran ini menawarkan kira-kira 100 jenis lauk-pauk untuk pilihan pengunjung. Jadi korang nak makan lauk Padang apa semua ada kat sini. Selain makanan Padang, pengunjung juga boleh mencuba Western Food dan Seafood. Kedai ini antara kedai yang recommended jika anda berkunjung ke Ipoh.

Lokasi: D-G, Jalan Dato Seri Ahmad Said, Kampung Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 11.00 am – 11.00 pm

4. Ipoh Hainan Chicken Rice

Sumber: @kb_kanta

Walaupun menu nasi ayam ialah menu yang simple dan mudah didapati ditempat lain, nasi ayam ini tetap mendapat sambutan dan menjadi bualan orang ramai. Selain nasi ayam, pengunjung juga boleh mencuba makanan lai seperti Mee Hailam, atau makanan sampingan lain seperti kerabu mangga, tauhu jepun dengan sos tiram dan wan tan hoo. Kedai ini mempunyai sijil halal jadi anda boleh makan disini tanpa ragu-ragu.

Lokasi: 107, Jalan Raja Musa Aziz, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 10.30 am- 10.00 pm

5. FM Tomyam House

Sumber: @mr_nazkeai

Mendengar sahaja nama restoran pasti korang sudah boleh membayangkan menu utama dikedai ini. Tomyam disini dimasak menggunakan air kelapa dan isinya juga dimasukkan bersama bahan-bahan lain seperti udang, sotong dan pelbagai bahan lain. Gabungan air kelapa yang manis serta rasa masam dan pedas dari tomyam itu sendiri menjadikan tomyam disini sangat sedap mempunyai aroma yang sangat menarik dan pastinya membuka selera setiap pengunjungnya.

Lokasi: 191, Kampung Melayu Sungai Rapat, 31350 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 5.00 pm – 3.00 am

6. Mee Daud Mat Jasak

Sumber: @tinakhairani

Mee Daud Mat Jasak pastinya sangat popular dikalangan warga Ipoh kerana restoran ini sudah beroperasi lebih dari 40 tahun dan restoran ini sangat terkenal dengan menu Mee Kari dan Mee Kicap. Mee Kicap merupakan hidangan cina yang telah diolah bagi memenuhi citarasa melayu dan hidangan ini sangat sukar ditemui ditempat lain menjadikan mee kicap ini sangat digemari oleh mereka yang gemarkan mee kicap. Mee kari disini juga dikatakan antara mee kari yang terbaik di sekitar Ipoh. Mee kari dengan kuah yang cukup pekat dan lemak serta dilengkapi fishcake, fishball dan taugeh pastinya mendapat tempat dihati pengunjung. Selain mee kicap dan mee kari, restoran ini juga menyajikan makanan lain seperti yong tau foo.

Lokasi: No 1 &, 2, Jalan Dato Onn Jaafar, Kampung Jawa, 30300 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 4.30 pm – 10.15 pm

7. Greentown Dim Sum Cafe

Sumber: @fitnyani

Bagi anda yang gemarkan dim sum, restoran ini ialah pit stop wajib anda jika nada berkunjung ke Ipoh. Restoran ini mempunyai pelbagai pilihan dim sum dan pastinya membuat anda rambang mata. Selain dim sum, restoran ini juga menyajikan pilihan makanan lain seperti masakan panas seperti nasi goreng dan mee. Selain itu, korang juga perlu mencuba fried radish cake kat sini. Bau saja fried radish cake pasti membuat anda semua berasa lapar sebab baunya sangat wangi dan rasanya yang sangat sedap. Ditambah pula dengan kerangupan taugeh dalam setiap gigitan yang pasti menyelerakan.

Lokasi: 10, Persiaran Greentown 4, Pusat Perdagangan Greentown, 30450 Menglembu, Negeri Perak

Waktu Operasi: 9.00 am – 9.00 pm

8. Mee Rebus Ramli

Sumber: @yayaa.rose

Nama Mee Rebus Ramli tidak perlu diperkenalkan lagi lebih-lebih bagi penduduk Ipoh mahupun orang utara. Mee Rebus Ramli sangat popular dek kepekatan dan kesempurnaan dalam rasa kuah mee tersebut. Cucur yang ranggup akan menambahkan lagi kenikmatan ketika menikmati mee rebus tersebut dan bagi anda yang gemarkan kuah yang masam, jangan lupa untuk menambah perahan jus limau nipis didalam kuah tersebut.Pastinya mee rebus disini merupakan antara mee yang sedap di sekitar Ipoh. Selain mee rebus, anda juga boleh menikmati makanan lain seperti asam laksa, western food dan nasi ayam yang tidak kurang sedapnya.

Lokasi:  Taman Tasek Jaya, Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Jaya, 31400 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 6.00 am – 11.00 pm

9. Assam House Restaurant

Sumber: @eddy_rush_fatboy_production

Bagi anda yang sukakan makanan cina, jangan lupa untuk berkunjung ke Assam House Restaurant. Assam House merupakan restoran Cina Muslim dan mempunyai sijil halal yang diiktiraf. Assam House ini juga pernah mendapat liputan dari pelbagai rancangan popular di stesen televisyen seperti Jalan-Jalan Cari Makan dan Best in The World 8TV. Antara signature dish disini ialah ayam goreng pandan, asam pedas ikan merah dan pucuk paku masak lemak. Melihat pada menunya sahaja pasti membuat ramai orang berasa lapar.

Lokasi: 2, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 11.30 am – 3.00 pm / 6.00 pm – 10.30 pm

10. Restoran Saffani

Sumber: @amiera.a

Restoran Saffani ialah restoran yang menyediakan lauk-pauk untuk makan tengahari dan istimewanya disini kerana hampir semua makanan disini dibakar atau dipanggang lalu dimakan bersama nasi putih dan dicicah air asam mahupun sambal kicap. Antara lauk-pauk yang menjadi pilihan pengunjung ialah sotong bakar, ikan bakar dan ayam bakar. Walaupun simple, makanan seperti ini sangatlah sedap dan pernah diterjah oleh rancangan Jalan-Jalan Cari Makan pada tahun 2014 dan terus mendapat tempat dihati masyarakat sehingga kini.

Lokasi: 54, Persiaran Pulai Baru 2, Taman Muda, 31300 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 6.30 am – 4.00 pm

11. 21 Grilled

Sumber: @bintuwahid

Mendengar sahaja nama restoran ini pasti semua telah membayangkan makanan barat dan apa yang menarik disini ialah burger bakarnya yang dikatakan paling besar di Ipoh sehinggakan boleh dimakan oleh 4-6 orang. Antara signature dish disini yang sedap dan perlu dicuba ialah Mexican Chicken Grilled, Charcoal Burger dan air kopi istimewa Mocha dan Caramel Machiato. Selain burger, restoran ini turut menyajikan Western Food lain seperti chicken chop, lamb chop dan sebagainya. Melihat pada gambar-gambar makanan disini sahaja mampu membuatkan perut berasa lapar. Restoran ini juga pernah mendapat liputan dari rancangan Jalan-Jalan Cari Makan dan pastinya variasi makanan disini sangat sedap dan menyelerakan.

Lokasi: 87, Regat Sri Cempaka, Taman Cempaka, 31400 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 11.30 am- 11.00 pm

12. Restaurant Pakeeza

Sumber: @ermiloyabun

Malaysia memang terkenal dengan kepelbagaian makanan, lihat sahaja bagaimana Ipoh mempunyai pelbagai jenis pilihan makanan dari makanan Melayu, makanan Indonesia, dan juga makanan Cina. Jadi mari kita lihat pula Restaurant Pakeeza yang menawarkan pilihan makanan dari India Utara. Menu yang wajib dicuba jika anda berkunjung kesini ialah nasi briyani, kari ikan, roti naan ,dan  roti puri. Antara lauk yang sesuai dimkan bersama nasi briyaninya pula ialah Kari Kambing dan Tikka Ayam yang sangat sedap. Jika anda berkunjung bersama rakan anda yang vegetarian, jangan risau kerana restoran ini turut menawarkan makanan vegetarian. Restoran ini merupakan antara restoran India yang lama beroperasi di Ipoh iaitu dari tahun 1998.

Lokasi: 15-17, Jalan Dato Seri Ahmad Said, 30450 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 11.00 am – 3.00 pm , 6.00 pm – 10.30 pm

13. Laksa Saranghae

Sumber: @sohoque

Bagi hantu laksa, ini adalah port yang anda wajib terjah jika datang ke Ipoh. Walaupun nama kedai ini seakan korea, namun semua juadah disini bukanlah makanan korea. Laksa ini diberi nama laksa saranghae kerana telur yang telah digoreng ranggup membentuk seakan sarang dan diletakkan diatas laksa. Kalau dah makan laksa, minum ABC  barulah complete kan? Kat sini anda juga boleh cuba ABC oreo yang sangat umpph. Selain laksa, kedai ini juga menjual western food, makanan kampung dan juga capati yang tak kurang hebat rasanya.

Lokasi: 1374, Jalan Merak, Kampung Dato’ Ahmad Said, 30020 Ipoh

Waktu Operasi: 4.30 pm – 11.00 pm, Tutup: Ahad

14. Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung

Sumber: @command.sengal

Jika anda gemarkan ayam kampung, restoran ini merupakan restoran yang anda wajib kunjungi. Jika selalunya ayam kampung dimasak kari, tetapi restoran ini menyajikan nasi lemak bersama ayam kampung. Nasi lemak yang lembut serta sambal yang cukup sedap menyempurnakn hidangan ini. Selain nasi lemak ayam kampung, terdapat juga sambal lain seperti sambal sotong dan sebagainya. Restoran ini turut menawarkan masakan ala thai dan pencuci seperti pulut mangga dan pelbagai bubur. Rata-rata pengunjung sangat berpuas hati dengan layanan dan variasi makanan yang sedap.

Lokasi: 43-45, Jalan Ali Pitchay, Taman Jubilee, 31650 Ipoh, Perak

Waktu Operasi: 3.30 pm – 2.30 am

15. Miker Food

Sumber: @chik_pizza

Sorang nak makan western, sorang nak makan masakan thai? Jangan risau sebab kat Miker Food, anda boleh makan kedua-duanya. Kedai ini sangat famous dengan pizza homemade dan juga tomyam nyiur ketamnya. Jadi jika anda berkunjung kesini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati dua juadah ini. Jika anda sukakan western food lain, disini juga antara tempat terbaik yang anda boleh dapatkan makanan tersebut. Hidangan seperti chicken chop, lamb chop dan lain-lain yang juga sedap pasti akan menggembirakan anda.

Lokasi: Miker Food, Jalan Padang, 30020 Ipoh, Negeri Perak

Waktu Operasi: 5 pm-12 am (Selasa-Jumaat), 5 pm-12.30 am(Sabtu), Tutup: Ahad

Konklusi

Penulis telah menyenaraikan 15 makanan sedap di sekitar Ipoh pada 2019. Jadi jangan lepaskan peluang untuk mencuba kesemua makanan ini jika anda berada di sekitar Ipoh kerana semua makanan ini sangat sedap dan berbaloi untuk dicuba.

Tags

Junaidah Idrus

makan.eat.repeat

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close
Close