News

Inisiatif Peduli Rakyat (IPR): Senarai Bantuan Kerajaan Negeri Selangor

Buat makluman semua, Menteri Besar Selangor telah memperkenalkan Bantuan Kerajaan Negeri Selangor, atau lebih dikenali dengan nama Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) iaitu bantuan khas untuk rakyat negeri Selangor. Terdapat pelbagai bentuk bantuan yang dapat dipohon oleh rakyat Negeri Selangor terutamanya yang berasal dari golongan kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah.

Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Negeri Selangor

Bagi rakyat negeri Selangor yang berkelayakan, terdapat lebih daripada 30 jenis inisiatif yang boleh dimohon. Kesemua inisiatif ini merangkumi bantuan dari segi bekalan air, kelahiran, pengajian tinggi, perbelanjaan pengebumian dan sebagainya. Berikut adalah senarai bantuan yang diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

1. Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)

Sebagai tanda penghargaan  pengorbanan besar kaum ibu, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), sebuah program kebajikan khusus bagi kaum ibu di kalangan golongan berpendapatan rendah (Kumpulan B40).

Objektif program ini adalah untuk meringankan beban kos sara hidup dengan cara pemberian bantuan kewangan yang dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di cawangan kedai serta pasaraya yang berdaftar dengan cara tanpa tunai (cashless).

2. Perkhidmatan Bas Smart Selangor Percuma

Untuk meningkatkan kualiti atau kemudahan sistem pengangkutan di Negeri Selangor, pihak Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan perkhidmatan bas secara percuma buat 3 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Waktu bas ini beroperasi adalah antara jam 6.00 pagi hingga 9.00 malam. Kekerapan perjalanan adalah selama 15 minit untuk tiba di setiap hentian. Buat makluman semua, perkhidmatan bas percuma dalam kawasan MBSA meliputi laluan sejauh 21 km mulai di Stesen Komuter, Seksyen 19 dan akan melalui 22 buah perhentian. Untuk senarai penuh rujuk pautan di bawah

3. Skim Air Darul Ehsan

Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan program pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu pertama mulai bulan Jun 2008 khas untuk penduduk negeri Selangor. Pemberian air bersih sebanyak 20,000 liter (5,680 gelen) secara keseluruhan setiap bulan ini ditujukan kepada pengguna air domestik yang memakai meter individu di Negeri Selangor terhad kepada 20 meter padu pertama.

4. Wifi #SmartSelangor Percuma

Menerusi WIFI #SmartSelangor, hotspot yang memancarkan WIFI dipasang di sekitar Negeri Selangor. Pertambahan akan dilakukan secara berperingkat supaya dapat meliputi keseluruhan negeri Selangor. Namun keutamaan diberikan terhadap kawasan berikut:

  1. Kawasan kampung
  2. Kawasan tumpuan orang ramai
  3. Kawasan golongan berpendapatan rendah di Selangor
  4. Kawasan tumpuan para pelajar

5. Bantuan Am Selangor (Bantuan Kebajikan Masyarakat)

Melalui inisiatif ini, rakyat yang sedang menghadapi masalah kehidupan yang tidak dapat dielakkan dapat memperoleh bantuan sementara sehingga RM350 sebulan untuk membeli atau mendapatkan keperluan asas.

6. Pengecualian Cukai Pintu

Manfaat program Pengecualian Cukai Pintu ini dapat dinikmati oleh para pemilik rumah kos rendah dan rumah kampung yang didirikan di Negeri Selangor. Buat yang menepati syarat kelayakan, mereka akan dikecualikan daripada Cukai Taksiran Negeri Selangor.

7. Bantuan Bina & Baiki Rumah (Kerajaan Prihatin)

Menerusi program Bantuan Bina & Baiki Rumah (Kerajaan Prihatin) ini, Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan bantuan dalam menjadikan kediaman mereka yang berkelayakan lebih selesa. Bantuan akan dihulurkan sekiranya rumah yang sedang dihuni tidak mampu dibina semula (Bantuan Bina Baru) atau tidak mampu dibaik pulih (Bantuan Baik Pulih).

8. Pemberian Bantuan Baucer Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan

Buat rakyat berpendapatan rendah di Negeri Selangor, baucer khas akan diagihkan kepada mereka untuk membeli barangan keperluan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Bantuan baucer dapat diperoleh dengan cara menghubungi Pusat Khidmat DUN.

9. Bantuan Sihat Selangor (Bantuan #SMART Sihat)

Bantuan Sihat Selangor merupakan suatu bentuk bantuan rawatan kesihatan yang khas disediakan buat rakyat negeri Selangor yang berpendapatan rendah. Ia menawarkan permohonan rawatan seperti pembedahan kecil, kaki palsu, dialisis buah pinggang, katarak mata dan lain-lain yang boleh dipertimbangkan.

10. Skim Peduli Sihat

Kerajaan negeri Selangor turut menyediakan peruntukan bagi Skim Peduli Sihat khas untuk rakyat Selangor. Menerusi skim ini, kategori individu akan memperoleh kad perubatan dengan jumlah RM200 manakala kategori keluarga berjumlah RM500.

11. Skim Kesihatan Wanita (MammoSel)

Program Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (Mammosel) bertujuan untuk menyediakan khidmat pemeriksaan mammogram secara percuma kepada semua wanita di negeri Selangor.

Wanita yang berkelayakan terdiri daripada mereka yang berusia sekurang-kurangnya 35 tahun yang lahir dan sedang menetap di Selangor . Bagi yang bukan kelahiran Selangor pula mestilah telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun untuk dikira layak.

12. Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar)

Skim Asuh Pintar yang juga dikenali sebagai SIKEMBAR sebelum ini menyediakan bantuan kewangan untuk kanak-kanak TASKA atau Nurseri yang berkelayakan.

Ibu bapa yang layak akan mendapat bantuan yuran TASKA atau Nurseri anak-anak mereka yang berumur empat (4) tahun ke bawah sebanyak RM100 sebulan.

13. Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS)

TUNAS menyediakan bantuan yuran sebanyak RM50 setiap bulan kepada kanak-kanak TADIKA yang layak

Namun begitu bantuan bukan dalam bentuk wang tunai tetapi dalam bentuk yuran dan disalurkan terus kepada TADIKA yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor

14. Skim Mesra Usia Emas (SMUE)

SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE) merupakan salah satu agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (Fasa 1). Skim ini dilancarkan pada bulan Ogos 2008 dan secara rasmi bermula pada 1hb Oktober 2008. Pada Januari 2017, “Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)” telah dijenamakan semula menjadi “IPR: Inisiatif Peduli Rakyat”

Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ini bermula sebagai skim khairat kematian kepada warga emas dan OKU yang layak dengan jumlah RM 2,500. Bermula 1hb Mei 2019 program khairat kematian telah dihentikan dan diganti dengan pemberian manfaat semasa hidup dalam bentuk Jom Shopping sebanyak RM 100 setahun kepada warga emas / OKU yang layak sempena musim perayaan. Ia dijangka bermula pada bulan Oktober 2019.

15. Insentif Perkahwinan Belia

Program Insentif Perkahwinan Belia diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk membantu pasangan pengantin baru yang berkelayakan bagi mendapat insentif berjumlah RM500 jika pasangan berkenaan menepati syarat yang ditetapkan.

16. Perpustakaan Bergerak Smart Selangor 

Inisiatif ini bertujuan mewujudkan kemudahan akses bahan bacaan dan internet bagi para pelajar yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah.  Ia juga boleh menjadi pusat aktiviti bagi penduduk setempat selain daripada memupuk budaya cinta pada ilmu dan suka membaca dalam kalangan masyarakat.

17. Program Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang

Tabung ini diwujudkan khas untuk menghulurkan bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang Negeri Selangor. Bantuan diberikan dalam bentuk biasiswa pembiayaan pendidikan, pembiayaan sara hidup semasa pembelajaran, program kelas tambahan, subsidi tambang bas sekolah, dan hadiah kecemerlangan UPSR

18. Program Khas Peduli Siswa

Program ini menyediakan pinjaman tanpa faedah buat yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk mengurangkan beban kos pengajian.

Kadar pinjaman yang disediakan adalah antara RM4,900 sehingga RM7,000 setahun sehingga tamat pengajian

19. Program Tuisyen Online

Kerajaan Negeri juga menyediakan program tuisyen secara online percuma khas buat pelajar tahun 4 hingga tingkatan 5.

20. Program Tuisyen Rakyat Selangor

Bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) ini khas disediakan kepada para pelajar yang memperolehi keputusan yang sederhana atau lemah serta berasal daripada keluarga yang berpendapatan bawah RM2,000.

21. Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor

Pihak sekolah atau PIBG bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dapat membuat permohonan untuk membaikpulih atau membina infrastruktur sekolah melalui program bantuan ini

22. Hadiah Pengajian IPT

Menerusi bantuan ini, hadiah sebanyak RM1,000 diberi kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah, yang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan. Pelajar hendaklah melanjutkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda

23. Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS)

Biasiswa ini diberikan kepada pelajar oleh Badan Kerajaan dan swasta untuk membiayai yuran pengajian tanpa perlu membayarnya semula kepada organisasi terbabit. Pemohon atau ibu bapa pemohon hendaklah lahir di Selangor ATAU telah bermastautin lebih daripada 10 tahun di Negeri Selangor.

24. Latihan Usahawan IT (SITEC)

Program ini menyediakan kelas e-dagang percuma kepada sesiapa. Ianya menawarkan pengetahuan berkenaan dengan perniagaan atas talian dan e-dagang dari peringkat asas kepada peringkat tertinggi dalam perinagaan atas talian.

25. Skim Hijrah Selangor (SKIMSEL + MIMBAR)

Skim Hijrah Selangor merupakan skim pinjaman mikrokredit tanpa penjamin yang dapat dijadikan modal tambahan untuk peniaga kecil serta penjaja di Negeri Selangor.

Pinjaman mikrokredit yang disediakan berjumlah antara RM1,000 hingga RM50,000 (mengikut kelayakan) dengan tempoh bayar balik pinjaman sekurang-kurangnya 6 bulan dan maksima 3 tahun.

26. Dana Usahawan Mikro Selangor

Bagi membantu para usahawan Industri Mikro di negeri Selangor meningkatkan hasil jualan, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor menganjurkan program khas iaitu Dana Usahawan Mikro Selangor.

27. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

Program ini berhasrat untuk membekalkan bantuan dalam bentuk peralatan atau mesin yang diperlukan mengikut perusahaan / perniagaan yang sedang dijalankan.

Sasaran program ini adalah golongan berpendapatan rendah yang memiliki kemahiran atau kepakaran untuk meneruskan perusahaan dalam bidang Jahitan / Perniagaan Runcit / Pengasuh Kanak Kanak / Perusahaan Kecil / Kraftangan.

28. Skim Rumah Selangorku

Melalui Skim Rumah Selangorku, warga negeri Selangor yang berkelayakan dapat membuat permohonan untuk membeli sebuah rumah sendiri dengan harga tidak melebihi RM250,000.

29. Skim Smart Sewa

Dengan Skim Smart Sewa, rakyat negeri Selangor terutamanya yang tidak mempunyai kediaman di Selangor dan menepati syarat kelayakan dapat menyewa rumah kos rendah atau sederhana rendah.

30. Skim Dana-Sel

Skim Dana-Sel menawarkan konsep sewa dan milik. Para pengusaha akan memperoleh apilkasi mobile yang membolehkan pembelian dilakukan menerusi telefon mudah alih. Penyertaan program ini adalah percuma.

31. Skim Ceria (Baikpulih Pangsapuri Kos Rendah)

Menyediakan kos bagi baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos sederhana rendah di Selngor. Skim ini turut membantu JMB untuk menguruskan kerja-kerja sivil, pengenggaraan lif dan pengindahan.

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi bahagian yang bertanggungjawab dalam program-program tersebut melalui pautan di bawah:

Artikel Berkaitan:

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close
Close