Bantuan Kerajaan
MyKasih Kapital: Bantuan RM1,000 Untuk Dropship & E-Dagang
Sempena Hari Wanita hari ini, 8 Mac 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan sebuah program terkini yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 2,000 orang penerima berkelayakan. Bantuan berupa suntikan modal perniagaan yang dikenali sebagai MyKasih Kapital ini ditawarkan dengan modal maksimum RM1,000.
MyKasih Kapital
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, insentif tambahan kepada insentif sedia ada itu disediakan antara lain untuk kegunaan dalam bidang e-dagang ataupun dropship.Beliau berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Skuad WAJA yang dibentuk melalui penyertaan komuniti wanita yang akan turut memberikan sokongan psikososial dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah.
“Penubuhan skuad ini bagi menghentikan keganasan terhadap wanita, serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita,” katanya semasa menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Wanita 2021 di Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini.
Saranan Pemerluasan Kemudahan BDR
Sementara itu, Muhyiddin menyarankan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia melihat kesesuaian pemerluasan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
Beliau berkata, ini bagi menggalakkan tanggungjawab bersama dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja.
“Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa agak lama untuk diselesaikan,” katanya.
Sumber: BERNAMA
—
Artikel Berkaitan: