Covid-19PKP 2.0

Vaksin Covid-19: Info-Info Penting Tentang Pemberian Vaksin Covid-19 Di Malaysia

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kita bakal menerima vaksin Covid-19 pada hari Ahad ini (21 Februari 2021) dan proses pendaftaran penerima vaksin akan dibuka mulai 1 Mac 2021. Jadi pelbagai persiapan telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan proses pemberian vaksin kepada rakyat berjalan dengan lancar. Berikut adalah maklumat yang anda perlu tahu mengenai vaksin COVID-19 ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Akan Dijalankan Bermula Hujung Februari 2021

Pada 4 Febuari lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara 3 fasa mulai hujung bulan ini. Dengan kerajaan menyasarkan sebanyak 80% daripada populasi negara ini, atau  26.5 juta individu yang akan menerima vaksin tersebut secara percuma.

Menurut Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, vaksin Pfizer-BioNTech telah berjaya didaftarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekaligus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Tiga Fasa Strategi Pemberian Vaksin COVID-19

Strategi Pertama (Februari – April 2021)

Pemberian vaksin adalah kepada petugas kesihatan bagi memastikan kumpulan ini terlindung daripada jangkitan COVID-19. Ini bertujuan memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pada tahap yang optimum.

Kumpulan Utama 1

Petugas barisan hadapan yang merangkumi petugas kesihatan kerajaan dan swasta.

Kumpulan Utama 2

Petugas barisan hadapan yang merangkumi perkhidmatan penting* (essential) dan pertahanan.

Jumlah penerima: 500,000 orang

Strategi Kedua (April – Ogos 2021)

Mengurangkan beban penyakit kepada kumpulan berisiko tinggi agar terlindung daripada jangkitan COVID-19. Ini sekaligus dapat mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia.

Kumpulan Utama 1

Baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan.

Kumpulan Utama 2

Warga emas berumur 60 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).

Jumlah penerima: 9.4 juta orang

Strategi Ketiga (Mei – Februari 2022)

Untuk kawalan wabak, pemberian vaksin akan dijalankan sepanjang fasa dua dan tiga di kawasan kluster berisiko tinggi melalui penilaian risiko bagi mengawal penularan penyakit.

Kumpulan Utama

Penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberikan kepada zon merah, zon kuning dan kemudian zon hijau.

Jumlah penerima: Sasaran 13,7 juta orang atau lebih.

Keutamaan pemberian vaksin oleh KKM adalah berdasarkan :

a. Epidemiologi penyakit dan data klinikal

b. Jenis vaksin

c. Faktor operasi

d. Penilaian risiko

Kenapa vaksinasi kepada 18 tahun keatas sahaja?

Buat masa ini, kebanyakkan percubaan klinikal yang dijalankan adalah kepada sukarelawan berumur 18 tahun ke atas. Beberapa syarikat vaksin akan melaksanakan percubaan klinikal terhadap kanak-kanak. Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan penggunaan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak apabila data saintifik yang membuktikan keberkesananya dan keselamatanya kepada golongan ini

Langkah berjaga-jaga

Vaksin COVID-19 adalah selamat bagi majoriti masyarakat. Namun begitu, beberapa kumpulan masyarakat  memerlukan pertimbangan lanjut bagi penerimaan vaksinasi ini:

  • Individu dengan alahan teruk
  • Individu hamil dan ibu menyusu
  • Individu yang positif COVID-19
  • Individu yang mempunyai masalah sistem imun

Proses Vaksinasi

Proses pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merangkumi proses dari enrolmen kumpulan sasar mengikut keutamaan bagi setiap fasa yang terlibat sehinggalah pemberian dan pemantauan kesan vaksinasi. Ia mengguna pakai aplikasi MySejahtera dan Laman Sesawang Khas atau secara manual bagi masyarakat yang tidak mempunyai akses aplikasi MySejahtera.

Lokasi pemberian vaksin

Vaksinasi akan dijalankan di 605 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang telah dikenal pasti oleh KKM. PPV sementara seperti di stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti yang bersesuian juga akan dibuka mengikut keperluan. Lokasi ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Pendaftaran dan temujanji vaksinasi

Pemberian vaksin COVID-19 adalah secara sukarela tetapi sangat digalakkan bagi memboleh sasaran pembentukan imuniti kelompok dapat dicapai. Pendaftaran untuk orang ramai akan bermula pada 1 Mac 2021 menerusi 5 kaedah berikut:

  1. Menerusi aplikasi MySejahtera
  2. Talian hotline (akan dimaklumkan)
  3. Program bantuan (outreach) bagi kawasan luar banda & pedalaman
  4. Menerusi laman sesawang www.vaksincovid.gov.my
  5. Pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

*Maklumat temujanji seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau SMS.

Proses vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera & laman sesawang khas

DOS 1

  1. Daftar melalui aplikasi MySejahtera / Laman Sesawang Khas.
  2. Terima tarikh temujanji
  3. Hadir ke PPV yang ditentukan
  4. Saring suhu & gejala
  5. Daftar kod QR & semak identiti
  6. Konsultasi & borang kebenaran
  7. Suntikan & sahkan penerimaan vaksin
  8. Pemerhatian 30 minit
  9. Terima kad vaksin
  10. Kesan advers susulan imunisasi (AEFI) COVID-19 dipantau.

DOS 2

  1. Terima tarikh temujanji (peringatan dos ke – 2)
  2. Hadir ke PPV yang ditentukan
  3. Saring suhu & gejala
  4. Daftar kod QR & semak identiti
  5. Suntikan & sahkan penerimaan vaksin
  6. Pemerhatian 30 minit
  7. Menerima Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 Digital (Bagi jenis vaksin satu dos, sijil akan diberikan sebaik selesai suntikan dos pertama)
  8. Perhatian kesihatan diri untuk sebarang kesan sampingan / AEFI

Proses vaksinasi secara manual

DOS 1

  1. Pendaftaran melalui talian hotline, klinik kesihatan atau Program Bantuan (Outreach).
  2. Terima tarikh temujanji
  3. Hadir ke PPV yang ditentukan
  4. Saring suhu & gejala
  5. Daftar kod QR & semak identiti
  6. Konsultasi & borang kebenaran
  7. Suntikan & sahkan penerimaan vaksin
  8. Pemerhatian 30 minit
  9. Terima kad vaksin
  10. Kesan advers susulan imunisasi (AEFI) COVID-19 dipantau.

DOS 2

  1. Terima tarikh temujanji (peringatan dos ke – 2)
  2. Hadir ke PPV yang ditentukan
  3. Saring suhu & gejala
  4. Daftar kod QR & semak identiti
  5. Suntikan & sahkan penerimaan vaksin
  6. Pemerhatian 30 minit
  7. Menerima Sijil Imunisasi Vaksin COVID-19 Digital (Bagi jenis vaksin satu dos, sijil akan diberikan sebaik selesai suntikan dos pertama)
  8. Perhati kesihatan diri untuk sebarang kesan sampingan / AEFI

Kesan Sampingan Vaksin COVID-19

Kesan sampingan vaksin COVID-19 yang telah dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara. Kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah:

  • Sakit/ bengkak/ kemerahan di tempat suntikan
  • Penat
  • Sakit kepala
  • Mengigil
  • Sakit sendi
  • Demam
  • Loya
  • Rasa tidak sihat
  • Bengkak kelenjar limfa
  • Kesan sampingan yang mungkin dilaporkan dari seamasa ke semasa

Kesan sampingan juga boleh dilaporkan oleh individu melalui 3 cara:

  1. Maklumkan kepada fasiliti kesihatan berdekatan
  2. Melalui aplikasi MySejahtera
  3. Layari Portal laporan ConSERF NPRA: www.npra.gov.my

Pemantauan Kesan Sampingan / Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI)

Pemantauan kesan sampingan / AEFI akan dijalankan secara enhance surveillance dimana penerima vaksin akan diberi notifikasi/ peringatan berjadual melaui aplikasi MySejahtera untuk melaporkan sebarang AEFI yang dialami. Pelaporan AEFI juga boleh dibuat oleh petugas kesihatan melalui sistem sedia ada. Penyiasatan Bagi AEFI yang serius akan dijalankan dengan teliti, dimana satu jawatankuasa pakar khas ditubuhkan bagi menilai kes-kes AEFI dan isu keselamatan berkaitan vaksin COVID-19.

Latihan Penghantaran Dan Penyerahan Vaksin Telah Dilakukan Secukupnya

Menurut Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, persiapan rapi yang dilaksanakan merangkumi proses penghantaran vaksin ke fasiliti penyimpanan dan ke negeri lain juga. Malah petugas kesihatan turut diberikan latihan secukupnya. “Melalui dryrun (latihan) ini, kita dapat kenal pasti masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya. Maka pada hari ketibaan vaksin itu nanti, semuanya diharap akan berjalan lancar.”

Selain itu, bahagian perolehan KKM juga telah mendapat bekalan sebanyak 55 peti penyejuk beku (freezer) untuk menyimpan vaksin dan ditempatkan di pusat-pusat simpanan vaksin yang dikenal pasti. Tambahan lagi, peti simpanan suhu ultra rendah (ultra low temperature) yang sedia ada turut ditempatkan di fasiliti penyimpanan vaksin KKM dan fasiliti Angkatan Tentera Malaysia sebagai tambahan peti penyimpanan vaksin.

Kejayaan Vaksinasi COVID-19 Di Dunia

Negara yang telah memulakan vaksinasi COVID-19 telah menunjukkan kesan positif dalam penurunan kes baru COVID-19 di negara masing-masing. Sebagai contoh, sebuah ,negara  yang telah menjalankan vaksinasi kepada 600,000 penduduk telah melaporkan keberkesanan vaksinasi dengan penurunan jangkitan COVID-19 sebanyak 94%.

Awas! Masih Belum Ada Vaksin Yang Dijual Secara Sah Di Malaysia

Sehingga kini masih belum ada vaksin COVID-19 yang dibenarkan untuk dijual secara sah di pasaran Malaysia. Berhati-hatilah jika anda menemui atau ditawarkan caksin COVID-19 oleh pihak lain selain Kementerian Kesihatan Malaysia kerana vaksin tersebut mungkin PALSU, TIRUAN ataupun datang daripada SUMBER YANG TIDAK SAH.

Jangan dedahkan diri dan keluarga anda dengan risiko pengambilan vaksin yang tidak diketahui status kesahihannya dan keselamatannya

Semak!

Semak No. pendaftaran ubat atau No.notifikasi kosmetik yang boleh dibuat di laman sesawang https://npra.gov.my atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang boleh didapati secara percuma dia Google Play, Apple AppStore atau Huawei AppGallery.

Sumber: Bernama | Buku Panduan Vaksin Covid-19 | KKM

Artikel Berkaitan:

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close
Close